Kamis, 16 Oktober 2008

Surat buat dia... calon suamiku... Oct 16, '08 9:43 AM


Surat buat dia... calon suamiku...

Bismillahirrahmanirrahim...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Assolatuwassalam ala Rasulillah. Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad saw, Pembawa Rahmat Seluruh Alam...


Salam sejahtera buatmu, semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang Islam. Walau apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaanNya supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan. Sungguh, pertemuan kita hanyalah melalui surat ini kerana Dia mahu menghijab kita daripada keburukan dan kejahatan yang tersembunyi.


Sesungguhnya, khusus ku dokumentasikan dalam bentuk tulisan akan terjemahan hatiku buatmu dengan harapan agarku dapat sampaikan sesuatu yang tersirat. Seperti yang telah dimaklumkan oleh ibu angkatku yang dikasihi, warkah ini sebagai satu wadah yang memudahkanmu mengenal diriku yang paling tersembunyi sebelum ku menerima sebarang kata putus darimu. Sesungguhnya, warkah ini adalah untuk memastikan kemaslahatan yang paling mantap bagi dirimu juga diriku sebelum dikau benar – benar mahu meneruskan hasratmu itu, andai Dia mengizinkan. Saat ku tulis warkah ini, telah ku persiapkan diri untuk menerima dengan hati yang terbuka apa saja keputusan darimu setelah dikau membaca keseluruhan isi kandungan warkah ini. Ku pohon agar dikau membuat pertimbangankan berdasarkan iman didalam dadamu. Keputusan yang ku harapkan lahir demi ALLAH swt.


”Ya Tuhan, dia insan yang terlalu asing bagi diriku. Adakah dia benar – benar sekufu denganku? Sedang sekufu bagiku dilihat pada din yang tertegak dalam dirinya dan bukan yang lain. Sungguh, aku tidak mampu menafsirkan dan mengukur kekayaan hati, kecantikan akhlak dan kerendahan dalam hatinya. Lantaran itu, padaMu aku minta dekatkan aku dengan kebenaranMu agarku menjadi teguh dalam pendirian. Kerna diriku ummat akhir zaman yang punya banyak kelemahan yang jelas terlihat dimata dan tiada upaya melainkan hanya dengan izinMu ku mencapai segala sesuatu. Sungguh, ku akui kekurangan dan ku insafi kelemahan itu.”


Satu hakikat yang sukar ditolak dalam pertembungan fitrah seorang insan iaitu ingin mencapai kesempurnaan dan keseimbangan dengan redha ALLAH. Islam menjadikan pernikahan sebagai jalan terhormat untuk menyatukan kasih – sayang di antara dua insan yang berbeza. Sungguh, sebuah perkahwinan itu melambangkan peristiwa fitrah, fiqhiyah, dakwah, tarbiyah, sosial dan budaya.


Sesuatu yang perlu ku perjelaskan dengan sebaik – baiknya padamu agar dikau mengerti bahawasanya kehidupanku dikelilingi oleh barisan manusia yang memimpin erat tanganku untuk menunjuki ku tika ku berada dalam keraguan dan kekeliruan. Ketahuilah, kehidupanku dihiasi oleh kehadiran insan – insan mulia ini. Mereka yang sentiasa sedia menjaga kesejahteraan diriku dan hubungan kami terbina dan diikat kerana ALLAH swt. Diriku amat menyakini yang dikau menyedari dan mengetahui akan kehadiran insan – insan ini dalam hidupku. Kehadiran mereka sangat berharga dalam hidupku. Mereka mengajarkanku tahu cara untuk mencapai redha ALLAH. Mereka menyentuh hatiku hingga diriku mampu dan bersemangat untuk mengikis karat – karat jahilliyah daripada hidupku. Mereka melihat, memerhati dan menegur dengan penuh teliti dan hikmah untuk memastikan Islam tertegak dalam hatiku. Mereka mendidikku dengan kesabaran, mereka menyampaikan dengan sepenuh tulus jiwa raga dari segala yang mereka miliki didunia ini untuk membentuk hatiku. Semuanya, berlaku hanya dengan izin dan pertolongan ALLAH. Tiada yang lebih mereka harapkan dariku melainkan penerusan kalimah ALLAH pada seluruh insan lain.


Sungguh, enggan ku kehilangan insan – insan ini hanya kerana sebuah perkahwinan. Sungguh, pasti ku akan menjadi lemah bila diriku berada jauh daripada aktiviti – aktiviti yang selama ini ku laksanakan kerana ia sumber kekuatanku untuk terus hidup. Sungguh ku mengerti bahawa dibahu ku terpikul beban dakwah yang amat berat. Tiada yang lebih penting dalam hidupku melainkan terus berada diatas jalan ini. Sesungguhnya, seringkali dalam munajatku meminta agar Dia memberiku hati yang sentiasa tetap untuk berjuang diatas jalan ini. Munajatku meminta Dia mengizinkanku untuk sentiasa tulus dan telus bekerja untuk Islam.


Sungguh, seorang isteri hanya sebagai barang perhiasan yang tidak kekal; pinjaman semata – mata.


Sungguh, tonggak utama dalam mencapai rumahtangga yang berkekalan ialah terletak pada tujuan yang mahu kita capai. Rumahtangga Islam telah banyak hilang kini. Banyak rumahtangga tiada mengecapi kebahagiaan hakiki yang tidak tercapai dengan keindahan; rumah dan perabut tetapi sebenarnya datang daripada jiwa yang bertaqwa kepada ALLAH. Kebahagiaan itu dirasakan dari dalam, bukan dari laur [ar rum:21].


Ku kutipkan kata – kata Zainab Al Ghazali Al-Zubaili khusus buatmu agar dikau mengerti maksud sebenar disebalik semua perkara yang ku catatkan diatas. Perhatikan dan fahamilah setiap perkataannya dengan kekuatan imanmu.


"Hak diriku untuk membuat syarat kepadamu supaya tidak menghalangku untuk berjihad di jalan Allah S.W.T, di mana diriku telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah dikau bertanya apa yang akan ku lakukan, tetapi hendaklah dikau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakanku. Dan, sekiranya berlaku pertembungan di antara perkahwinan dengan dakwah, maka, akan berakhir perkahwinan dan kekal dakwah kepada Allah S.W.T. Diri ini meminta kepadamu supaya dikau menunaikan janjimu. Janganlah dikau tanya dengan siapakah diriku akan berjumpa. Diri ini berdoa kepada Allah S.W.T supaya ALLAH jadikan balasan jihad yang ku lakukan ini sebahagiannya adalah buatmu, andainya amalku ini diterima oleh Allah S.W.T."


Dalam doa, aku meminta Dia lengkapkan jiwaku yang begitu seringkali menitiskan air mata saat cabaran dakwah melibas tubuhku, bila arus kejahilan terlalu kuat hingga mengugutku untuk membawa diriku bersama dengan kederasan arus itu dan tatkala ku dihujani dengan panahan kata – kata yang menyakitkan.


”Ya Tuhanku, kefahaman dan fikrah Islam kami berada pada jalan yang mungkin bukan sealiran. Dalam ketidaksetaraan itu, ku cuba untuk mencari titik persamaan... Tuhan, Engkau yang meneguhkan hatiku untuk menulis warkah ini buatnya. Yang melaluinya, ku biarkan dia membuat pilihan diatas namaMu Yang Maha Agung. Andai dia sudi menerima diriku, maka permudahkan urusan kami dan berkati kehidupan kami sepanjang kehidupan kami. Bukakan hatiku untuk menerima dan melihat dia dari sudut keindahan agama yang dia letakkan dalam dirinya andai benar diriku buatnya. Cukupkan rasa ketenangan hatiku dengan kedamaian yang dia miliki kerana tertegaknya kalimah Islam dalam hati dan perbuatannya andai benar dia selayaknya untukku. Berikan taufiq dan hidayahMu agar dia menjadi peneman dan penguat dalam wasilah perjuanganku. Andainya dia memilih sebaliknya, hatiku akan tetap melihat dan percaya yang Engkau tidak menciptakan sesuatu dengan sia – sia. Sungguh, gantikanlah sesuatu yang hilang daripada pada kami dengan sesuatu yang lebih baik buat kami. Kerna diriku mahukan corak cinta yang tak luput kerana namaMu dan baituldakwah yang sering sujud ditelapak kakiMu...”

Tidak ada komentar: